PUTRAJAYA – SWCorp Wilayah Persekutuan memaklumkan operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kuala Lumpur berdepan gangguan susulan hujan berterusan dan banjir.
Pengarahnya Ummi Kalthum Shuib berkata, pihaknya bagaimanapun akan memastikan kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam dilaksanakan mengikut keperluan dan kesegeraan.
Beliau berkata, pihaknya juga memohon mana-mana kawasan perumahan yang memerlukan bantuan untuk mengangkut sisa pukal selepas banjir supaya menghubungi mereka.
“Anda boleh hubungi talian 03-2245 9292 (Pegawai Khidmat Pelanggan) atau 016-8655313 (Alex Robert) bagi memohon bantuan itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuang sampah ke longkang, parit, sungai dan laut, kerana ia boleh mengundang risiko termasuk menyebabkan air tersekat dan banjir. – K! ONLINE