PUTRAJAYA – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sah terus unggul mengekalkan kejuaraan kategori bahasa Inggeris dalam Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021.
Mereka yang bertindak selaku kerajaan dalam debat ala format Parlimen itu diwakili oleh Irtza Ali Soomro sebagai Perdana Menteri dibantu timbalannya, Nur Hana Izzati Abdullah Zawawi, sementara pembahas ketiga bertindak sebagai whip kerajaan dan juga jurulatih pasukan tersebut ialah Muhammad Hilmy Mohd. Yazid serta pendebat simpanan, Anis Sufea Ismail.
Ini merupakan kemenangan kali ke-11 pasukan UIAM selepas pernah muncul juara ketika edisi pertama pada 1995 lalu selain 1997, 1999, 2000, 2001, 2004, 2007, 2015, 2018 dan 2019.
Ia menewaskan Universiti Malaya (UM) yang diwakili oleh Luc Choong Guong Sang, Kuhan Karttikeyen Ravichandran, Danesh Ram Aggarwal Shishi Kumar dan Catherine Alicia Nathan.
Kejayaan ini membolehkan ia meraih trofi, wang tunai RM5,000 dan buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Pertandingan Akhir dengan hadiah disampaikan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah selaku tuan rumah kejohanan edisi kali ke-22.
Pertandingan dianjurkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Debat Universiti Malaysia dengan kerjasama DBP serta Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai akhbar rasmi. – K! ONLINE.