PETALING JAYA – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan dua loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dihenti tugas disebabkan berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di tempat tersebut
“Manakala di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan loji itu hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian.
“Selain itu, di LRA Cheras Batu 11 terpaksa di henti tugas berikutan banjir.
Jelasnya, berikutan henti tugas loji-loji rawatan air ini, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
“Disebabkan oleh kesulitan yang dialami ekoran kebanyakan jalan utama ditutup berikutan situasi banjir yang meningkat, Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan penutupan tiga LRA dari masa ke masa menerusi media sosial rasmi Air Selangor. – K! ONLINE