NEW YORK – Pemain Latvia, Anastasija Sevastova mendapat tonik terbaik apabila berjaya menundukkan bintang muda Amerika Syarikat, Coco Gauff di pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Pemain remaja berusia 16 tahun, Gauff mencuri perhatian dunia tenis tahun lalu apabila mara ke pusingan keempat di Wimbledon, sebelum mengulangi prestasi itu dalam Terbuka Australia tahun ini.
Pada perlawanan tersebut, Sevastova tidak membuka ruang kepada Gauff untuk tampil agresif sebelum mencatat kemenangan 6-3, 5-7, 6-4 sekali gus meraih kemenangan pertamanya musim tahun ini.
“Saya harap mampu kembali dengan prestasi yang terbaik seperti saya berusia 16 tahun. Gauff merupakan pemain hebat dan agresif pada set pertama.
“Pada set ketiga, saya rasa Gauff mempamerkan aksi yang cukup baik. Pukulan servis dan aksi lincahnya hampir menjerat saya, namun saya tetap tenang dan berjaya mengawal permainan untuk meraih kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Sevastova berharap dengan kemenangannya itu dia mampu melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka AS seperti yang dilakukannya pada musim 2018.
“Terbuka AS bukan kejohanan yang mudah dan persiapan tahun ini sedikit terganggu gara-gara pandemik Covid-19. Saya harap mampu kembali dengan prestasi sebenar untuk melangkah ke suku akhir,” ujarnya.
Sementara itu, Camila Giorgi turut melangkah ke pusingan kedua selepas berjaya mengatasi pemain Belgium, Alison Van Uytvanck 2-6,6-1,7-5. – AGENSI