PETALING JAYA – Lantang bersuara, penyanyi dan pelakon Naim Daniel memuji semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang ditunjukkan orang ramai menerusi media sosial berdepan masalah banjir.
Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, rakyat sendiri berpusu-pusu dan menguar-uarkan misi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terkesan disebabkan bencana alam yang melanda.
“Maaf, di Twitter lagi terasa ‘Keluarga Malaysia’-nya. Rakyat masing-masing tak menang tangan bagi informasi dan bantuan.
“Dari menunggu mesej daripada kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang ‘update’ banjir terkini yang tidak masuk-masuk,” ciap pelantun lagu Purnama itu menerusi Twitter.
Dalam pada itu, Naim, 24, turut menitipkan pesanan dan doa kepada orang ramai supaya berhati-hati dalam keadaan yang runcing sekarang.
“Kepada mangsa banjir yang sempat berteduh di tempat perlindungan yang disediakan, jaga diri ya?
“Walau bersesak, jaga jarak fizikal jika mampu, Covid-19 masih ada. Moga Allah memeluk kalian dengan kemas,” katanya lagi.
Terdahulu, hujan lebat yang berlarutan selama dua hari sejak kelmarin mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS). – K! ONLINE