fbpx

MBI pantau longkang elak tersumbat disebabkan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (dua dari kanan) melihat longkang semasa meninjau lokasi sampah haram di Hala Pegoh 27 di Ipoh pagi tadi.

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan pemantauan berterusan terhadap longkang dan sistem perparitan di kawasan perumahan sekitar bandar ini agar tiada sampah sarap bagi mengelak banjir kilat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembersihan longkang dibuat bagi memastikan aliran air lancar sekiranya hujan lebat berterusan.

Menurut beliau, kerja-kerja tersebut telah pun dijalankan sejak dua minggu lalu berikutan musim tengkujuh sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pembersihan longkang ini penting kerana dalam beberapa kejadian banjir kilat ia disebabkan aliran yang tersekat kerana sampah sarap yang dibuang ke dalam longkang.

“Justeru, kerjasama serta kesedaran warga bandar Ipoh sangat diperlukan untuk kita sama-sama mengambil berat dalam isu banjir kilat ini disebabkan sampah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram di Hala Pegoh 27 dekat Taman Pinji Mewah di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, pihak MBI turut memantau keadaan di Sungai Pinji dan Sungai Pari di mana limpahan air dari kedua-dua sungai jikalau hujan lebat boleh menyebabkan berlaku banjir kilat.

Katanya, pada masa ini keadaan baik dan terkawal kerana pemantauan ini turut dilakukan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Mengikut keadaan semasa longkang dan sistem perparitan di Ipoh mampu menampung melainkan jika longkang tersumbat.

“Bagaimana pun, sekiranya hujan terlalu lebat dengan kadar bacaan sehingga 300 mililiter (mm) kita bimbang longkang tidak mampu menampung air yang banyak,” ujar beliau. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI