KLANG – Seramai hampir 10,000 mangsa banjir diselamatkan agensi- agensi penyelamat dan dibawa ke 32 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong di Kampung Nelayan Telok Gong, di Pelabuhan Klang di sini mencatatkan penghuni PPS paling ramai iaitu 1,293 orang diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru (800) dan 700 di SMK Klang Utama dan SK Sungai Binjai.
Berdasarkan maklumat daripada Pos Kawalan Bomba (PKP) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor di SK Telok Gong, seramai 3,269 mangsa telah diselamatkan oleh pasukan agensi itu di Klang sahaja.
Secara keseluruhan, sebanyak 9,143 mangsa di seluruh negeri ini diselamatkan JBPM yang merangkumi daerah Klang, Sepang, Kuala Langat, Petaling, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak.
Terdahulu, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan, seramai 6,242 mangsa banjir di seluruh negeri dipindahkan ke PPS setakat pukul 8 pagi tadi di 80 PPS yang dibuka lapan daerah. – K! ONLINE.