GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli Bateq membabitkan dua buah kampung di Pos Lebir di sini terputus hubungan luar selepas air sungai naik melimpahi jambatan dan jalan kampung mereka sejak tiga hari lalu.
Jambatan menuju ke kampung itu masih lagi tenggelam apabila air Sungai Aring dan Sungai Linggi di sini menutup laluan.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, hujan masih turun ketika ini menyebabkan paras air besar iaitu Sungai Lebir dijangka semakin meningkat.
Katanya, penduduk tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Krai dan hanya boleh menyeberangi sungai menggunakan rakit atau bot.
“Bekalan makanan kami mencukupi untuk tiga hari sahaja lagi. Saya berharap agar pihak berwajib segera menyalurkan bantuan sekiranya hujan berterusan dan laluan masih terputus.
“Penduduk Orang Asli terpaksa membatalkan perjalanan ke bandar Gua Musang dan Kuala Krai untuk melakukan urusan mereka seperti membeli keperluan harian,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Harun, sebanyak 40 khemah dan bangsal buluh dan kayu hutan juga telah dibina di atas bukit sebagai tempat pemindahan sementara mangsa banjir. – K! ONLINE.