PETALING JAYA – Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diwakili empat parti komponen telah memperolehi mandat rakyat negeri itu apabila berjaya memenangi 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
GPS yang diwakili oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilihat mengulangi kejayaan mereka pada PRN ke-11 pada 2016 lalu.
GPS telah diwakili PBB di 47 buah kerusi dengan SUPP bertanding di 18 kerusi, PRS (11) dan PDP (enam).
Dengan kemenangan tersebut, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri Sarawak sebentar tadi.
Sementara itu, dalam PRN kali ini Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya memenangi empat kerusi antaranya di DUN Ba’kelalan dimenangi calonnya yang juga bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
Sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP pula memenangi dua kerusi manakala PKR yang bertanding di 27 kerusi langsung tidak memenangi apa-apa kerusi kali ini.
Parti lain yang turut meletakkan calon mereka adalah Parti Bumi Kenyalang (PBK), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun kesemuanya kecewa apabila langsung tidak memenangi sebarang kerusi.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, GPS berjaya memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di negeri itu.
Keputusan itu sekali gus membolehkan GPS menerima mandat mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu selepas melepasi jumlah majoriti mudah sebanyak 42 kerusi.
Bagi memperoleh majoriti dua pertiga pula, GPS perlu memenangi sebanyak 56 kerusi DUN.
Kemenangan GPS kali ini juga dianggap bersejarah berikutan buat pertama kali bertanding dengan logo sendiri berbanding sebelum ini menggunakan jenama Barisan Nasional (BN). -K! ONLINE