LONDON – Kapten pasukan Aston Villa, Jack Grealish mengakui cukup teruja selepas dipanggil untuk menyertai skuad antarabangsa England buat kali pertama untuk mengharungi aksi Liga Negara-Negara Eropah minggu ini.
Sebagai rekod, pemain berusia 24 tahun itu dipilih oleh ketua jurulatih, Gareth Southgate untuk menggantikan posisi Marcus Rashford dan Harry Winks yang mengalami kecederaan.
Kata Grealish, keputusan Southgate untuk memanggilnya dalam skuad The Three Lions buat pertama kali adalah petanda prestasi cemerlang yang dipamerkan bersama Villa musim lepas tidak dipandang sepi.
“Saya percaya keupayaan serta bakat saya sudah dihargai dengan kepercayaan yang diberikan oleh Southgate untuk panggilan skuad antarabangsa kali ini.
“Secara jujur, ini adalah peluang buat saya membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa dan dalam masa yang sama belajar daripada rakan-rakan sepasukan yang lebih senior.
“Apa yang pasti, saya percaya England dimiliki barisan pemain terbaik dunia dan bukan mudah untuk beraksi dalam kesebelasan utama tetapi saya akan bekerja keras pada kem latihan pusat nanti,” katanya.
Grealish yang sebelum ini mewakili Republik Ireland pada peringkat remaja telah menjadi watak penting buat Villa mengekalkan tempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan. – AGENSI