KLANG – Polis meminta penduduk empat daerah di negeri ini supaya menjauhi kawasan dilanda banjir bagi mengelak terperangkap dalam bencana alam itu.
Ia susulan kejadian melibatkan tiga mangsa yang terkandas di sebuah pangsapuri di sekitar Shah Alam petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, paras air di beberapa sungai didapati masih tinggi terutama di Klang dan Sepang.
Katanya, hasil pemantauan mendapati banjir masih berlaku setakat ini.
“Ia termasuk di daerah Shah Alam dan Kuala Langat yang turut mula mencatatkan peningkatan pemindahan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini, petang tadi.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.
Justeru, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. -K!ONLINE