LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau tidak tahu apa yang boleh dijangkakan menjelang pertemuan menentang Tottenham Hotspur di London awal pagi esok.
Spurs tidak beraksi dalam sebarang perlawanan sejak 5 Disember lalu ekoran pasukan itu dilanda masalah penularan Covid-19 termasuk aksi terbaharu mereka menentang Leicester City pada Khamis lalu.
Situasi itu menyaksikan pengurus baharu mereka, Antonio Conte sekadar mengharungi empat perlawanan Liga Perdana Inggeris sahaja setakat ini selepas dilantik menggantikan Nuno Espirito Santo.
Menurut Klopp, beliau tidak dapat gambaran jelas mengenai pemain yang akan diturunkan oleh Conte selain strategi yang mungkin akan digunakan bekas jurulatih Inter Milan itu pada pertemuan di Stadium Tottenham Hostpur itu nanti.
“Saya tidak boleh menjangkakan apa-apa daripada mereka. Selepas sidang media ni, saya akan bersama pemain untuk menganalisis video-video perlawanan yang lama. Kami tidak mempunyai maklumat mengenai mereka.
“Sudah pasti untuk mereka juga bukan suatu yang mudah. Selepas dua minggu tanpa sebarang aksi kompetitif, mereka akan kembali beraksi dan itu adalah cabaran besar buat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Klopp turut memberikan respons mengenai situasi Covid-19 yang melanda banyak kelab di England dan berharap semua pihak lebih jujur dan terbuka untuk memberikan maklumat yang tepat.
“Saya fikir kalau kita semua lebih telus, ia akan membantu. Kami tahu mereka (Spurs) tidak akan menurunkan tiga pemain mereka.
“Saya dengar Manchester United juga terlibat dalam kes Covid-19 tetapi saya tidak tahu berapa ramai pemain mereka yang terlibat,” jelasnya. – AGENSI