BALIK PULAU – UMNO masih memerlukan ‘sentuhan’ daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden untuk mengemudi arah parti itu sehingga pilihan raya umum berlangsung.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama, Ketua Bahagian UMNO bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, kepemimpinan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula diperlukan untuk menjaga rakyat dan negara sebagai Perdana Menteri.
“Sehubungan itu, UMNO Bahagian Balik Pulau meluluskan usul menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.
“Kita ambil jalan tengah sebegini supaya UMNO dilihat matang dalam membuat keputusan yang dapat menjaga keharmonian parti serta dalam masa sama kepentingan rakyat turut terpelihara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Balik Pulau di sini hari ini.
Menurutnya, kredit harus diberikan kepada Ahmad Zahid yang telah mengambil alih serta menjaga UMNO ketika parti itu berdepan saat sukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Bila kita berada dalam keadaan susah dahulu, kita kena beri kredit kepada orang yang jaga kita sewaktu susah dahulu.
“Kebetulan selepas itu, pemimpin parti kita dapat menjadi Perdana Menteri pula, dia juga dalam keadaan susah kerana perlu menjaga kerajaan yang ada banyak parti, jadi kita perlu sokong kedua-dua pemimpin ini (Ahmad Zahid dan Ismail Sabri),” katanya. – K! ONLINE