WALAUPUN bergelar seorang bintang filem terkenal, pelakon jelita Shefali Jariwala enggan meraikan sambutan hari lahirnya dengan majlis mewah dan gah kerana tidak mahu membazirkan wang.
Ujar pelakon berusia 39 tahun itu, dia menganggap sambutan majlis hari lahir secara berlebihan adalah suatu pembaziran dan sia-sia sahaja.
“Saya tidak lagi berparti kerana enggan membazirkan wang. Mengadakan majlis sambutan hari lahir dengan mewah juga suatu pembaziran.
“Saya masih meraikan sambutan hari lahir tetapi hanya bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat. Daripada menghabiskan duit untuk sebuah majlis hari lahir, lebih baik saya menggunakannya dengan tujuan yang lebih bermanfaat,” ujar Shefali.
Kata pelakon yang pernah membintangi filem berjudul Hudugaru itu lagi, dia lebih suka menggunakan wang untuk tujuan kerja amal dan membantu mereka yang memerlukan.
“Rasa lebih tenang menggunakan duit saya untuk tujuan kebajikan dan menderma kepada mereka yang berada dalam kesusahan.
“Daripada membazir untuk mengadakan parti yang tidak sepatutnya,” katanya.