fbpx

Hubungi segera TNB sekiranya premis dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai terutamanya mereka yang terjejas dengan banjir diminta menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekiranya premis dinaiki air pada paras bahaya supaya bekalan elektrik dapat dihentikan segera.

TNB dalam satu kenyataan berkata, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk memaklumkan perkara itu.

“Penutupan bekalan elektrik itu adalah bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan akan disambung semula apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat,” kata TNB hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan elektrik di kawasan Klang yang terjejas dengan banjir kilat, TNB berkata, usaha giat sedang dijalankan pihaknya bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan semula.

“Penyaluran semula bekalan akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada akses, keadaan setempat dan faktor keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, TNB meminta pengguna mengamalkan beberapa panduan keselamatan elektrik antaranya, apabila premis dinaiki air, pastikan suis utama ditutup bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

“Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat.

“Sekiranya perlu berpindah, sebelum berpindah, matikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan menutup suis utama.

“Pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI