KUALA SELANGOR – UMNO Bahagian Tanjong Karang menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) hingga habis penggal pada tahun 2023.
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, usul tersebut adalah senada dengan ketetapan UMNO Selangor semasa mesyuarat yang beliau pengerusikan pada 15 Disember lalu.
“Mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor pada Rabu lalu membuat ketetapan menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Pada mesyuarat itu juga 22 UMNO Bahagian di Selangor menyokong supaya Muafakat Nasional (MN) di negeri ini diteruskan. Kita juga meminta wakil-wakil PAS untuk hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Jalan Sungai Kajang Lama, dekat sini hari ini.
Selain usul menyokong Perdana Menteri, Noh berkata, isu kenaikan harga barang dan input-input pertanian sejak kebelakangan ini menjadi usul yang akan dibahaskan pada mesyuarat tersebut.
Jelas beliau, masalah kenaikan harga input-input pertanian adalah isu yang besar di parlimen tersebut.
“Isu kenaikan harga barang dan input-input pertanian amat rapat dengan Tanjong Karang sebagai kawasan pertanian di negeri ini,” ujarnya. -K!ONLINE