PETALING JAYA – “Mulianya hati pasangan suami isteri ini, tidak ramai yang sanggup meluangkan masa membantu orang kelainan upaya (OKU) membeli-belah.
Itu antara reaksi pengguna laman sosial apabila melihat klip video yang memaparkan pasangan suami isteri ‘menemani’ dua individu cacat penglihatan membeli-belah.
Menariknya, suami kepada wanita itu menjadi jurupandu kepada dua individu buta itu sehingga mereka selesai membeli-belah di sebuah kedai peralatan sukan di pusat beli-belah terkenal di ibu kota.
Turut kelihatan lelaki terbabit membawa anak kecil bersamanya di dalam sebuah kereta sorong bayi.
Pasangan terbabit bukan sahaja menemani individu itu membeli-belah malah turut mengiringi mereka sehingga ke sebuah stesen pengangkutan awam untuk menghantar mereka pulang.
Menurut pasangan itu, kedua-dua individu berkenaan kali pertama menjejakkan kaki di pusat beli-belah terkenal itu.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen memuji tindakan pasangan terbabit yang sanggup meluangkan masa membantu kedua-dua individu berkenaan dan mendoakan agar Allah merahmati mereka selalu.
“Semoga murah rezeki untuk pasangan ini, dan untuk abg dua org tu selalu dalam lindungan Allah selalu,” tulis Nurhaliza Iza.
“Mulia hati pasangan ini, tidak ramai yang sudi membantu jika lihat orang buta, semoga kalian berdua sentiasa dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah selalu,” ujar Hidayah Ahmad pula. -K! ONLINE