fbpx

Banjir: Beberapa lokasi di Sepang dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan persimpangan Kota Warisan menghala Bandar Baru Salak Tinggi dan KLIA yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang semalam. /FOTO MEDIA SOSIAL

SEPANG – Beberapa lokasi di daerah ini mula dinaiki air sejak petang semalam susulan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Langat melimpah.

Paling teruk terjejas adalah beberapa kawasan perumahan di sekitar Kota Warisan dan Dengkil.

Selain itu, persimpangan Kota Warisan menghala ke Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga turut dinaiki air.

Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim ketika dihubungi berkata, hujan lebat sejak petang semalam hingga subuh pagi ini menyebabkan air Sungai Langat melimpah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata, banjir kilat turut melanda Kampung Olak Lempit iaitu kali pertama berlaku di kawasan itu tahun ini.

“Manakala, beberapa lokasi di Dengkil termasuk Kampung Datuk Ahmad Razali, Taman Delima, Kampung Cemperai dan Kampung Ampar Tenang turut dinaiki air.

“Kami masih lagi memperincikan senarai lokasi kawasan yang dinaiki air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, banjir kali ini agak teruk kerana ia membabitkan banyak kawasan termasuk beberapa lokasi yang belum pernah dinaiki air.

Khairi Azali berkata, pihaknya akan mula membuka pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini bagi menempatkan mangsa banjir. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI