PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) berjaya membantu seramai 220,248 usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, Medac akan terus membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi bukan hanya melalui pembiayaan tetapi juga melalui peluang perniagaan baharu, digitalisasi, latihan keusahawanan dan juga sesi libat urus yang melibatkan persatuan atau pertubuhan.
“Saya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengalu-alukan tindakan sektor perbankan untuk terus membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan.
“Usaha ini juga selaras dengan dasar baru Medac yang saya umumkan supaya agensi yang memberikan pembiayaan kepada usahawan seperti Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp. Malaysia, PUNB, AIM dan PERNAS tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada peminjam,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, katanya, urusan permohonan pembiayaan dana kerajaan dipermudahkan lagi dengan tidak menggunapakai tapisan CTOS dan CCRIS.
“Ini juga merupakan satu tindakan dalam membantu usahawan yang terkesan dalam tempoh pemulihan Covid-19.
“Selaras dengan AKM iaitu Bekerja Bersama Rakyat semoga semua langkah bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang amat memerlukan,” ujarnya. -K! ONLINE