SHAH ALAM – Mangsa banjir kilat di Klang terus meningkat kepada 1,011 mangsa berbanding 113 sebelum ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis dalam kenyataannya berkata, kesemua mangsa dipindahkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka meliputi Sekolah Telok Gong seramai 681 mangsa diikuti Masjid Al-Islah (256) dan Masjid Al-Ubudiah (74).
Jelasnya, operasi menyelamat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Kapar, Shah Alam, Kota Anggerik, Andalas, Banting dan Telok Panglima Garang.
Sementara itu, menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara menunjukkan 22 mangsa banjir dipindahkan di sekitar Kuala Langat dan ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampong (MPKK) Banting dan Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang. -K!ONLINE