KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus mencipta sensasi apabila mara ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol.
Kejayaan itu terhasil selepas Ee Yi-Yew Sin mempamerkan kebangkitan dramatik menewaskan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 12-21, 21-17, 21-15 dalam tempoh satu jam lima minit.
Menariknya, ia adalah kemenangan pertama gandingan negara di ranking ke-12 dunia itu dalam empat pertembungan menentang Lee Yang-Chi Lin yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Lawan Ee Yi-Yew Sin di separuh akhir malam esok ialah pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan beregu senegara, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-18, 21-12.
Pingat gangsa sekurang-kurangnya tetap menjadi milik Ee Yi-Yew Sin seandainya tewas, namun berpeluang mencipta sejarah baharu jika berjaya melangkah ke pentas final.
Ini kerana masih belum ada wakil negara yang berjaya meraih pingat emas Kejohanan Dunia dalam semua peringkat kategori sejak edisi pertama di Malmo, Sweden pada 1977. – K! ONLINE