ANGGOTA kumpulan 2PM, Chansung mengumumkan dia dan teman wanita yang dirahsiakan identiti selama ini bakal berkahwin pada awal tahun hadapan.
Keputusan untuk berkahwin dalam masa yang singkat itu dibuat selepas mengetahui kekasihnya kini sedang hamil cahaya mata pertama mereka.
“Saya ada menjalinkan hubungan dengan seseorang sejak sekian lama. Seorang rakan yang saya kongsi segalanya dan dia menjadi kekasih saya.
“Sementara membuat persiapan untuk berkahwin selepas selesai khidmat tentera, kami dikurniakan dengan kehadiran orang baharu dalam masa yang awal daripada dijangka.
“Kami merancang untuk berkahwin secepat yang mungkin pada awal tahun hadapan. Kami sangat berhati-hati disebabkan kehamilannya masih di peringkat awal,” katanya.
Dalam pada itu, Chansung memohon agar semua peminat memahami keadaannya dan tidak mencari atau mendedahkan identiti bakal isterinya yang bukan dalam kalangan selebriti.