LONDON – Seorang lelaki di Britain terkejut apabila menemui mayat bayi baru lahir di dalam sebuah beg yang dikeluarkan dari ruang sejuk beku peti sejuk rumah jirannya, lapor akhbar The Sun semalam.
Darnell Jackson, 23, sebelum itu bergegas ke rumah jirannya di Yorkshire Selatan selepas teman wanitanya memberitahu bahawa dia terlihat mayat bayi di rumah tersebut pada Rabu lepas.
“Saya bergegas memasuki rumah itu dan menemui sebuah beg yang baru dikeluarkan dari peti sejuk. Saya membuka beg tersebut dan menemui mayat bayi yang telah meninggal dunia.
“Bayi berkenaan berada dalam kedudukan seperti janin di dalam rahim. Saya boleh melihat kulitnya menjadi beku dan terdapat banyak fros pada kakinya.
“Saya kemudiannya keluar dari rumah itu ketika menanti polis tiba kerana tidak sanggup melihat keadaan bayi tersebut,” kata Jackson.
Sementara itu, Superintendan polis, Jamie Henderson berkata, kes tersebut disifatkan sebagai amat tragik dan menjadi satu berita sedih buat penduduk sekitar.
“Ketika ini, siasatan mengenai kematian bayi tersebut masih di peringkat awal. Kami meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini,” ujarnya.
Susulan penemuan tersebut, polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun dan seorang wanita 45 tahun kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan bayi itu. – Agensi