KUCHING – Sebanyak 1,866 Pusat Mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka esok bagi membolehkan kira-kira 1.2 juta pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 46,565 petugas juga akan ditempatkan di semua lokasi terlibat bagi memudahkan proses pengundian.
“Hari ini SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.
“Semakan itu untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik seterusnya diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Pada masa sama, Ikmalrudin turut menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut saranan masa ditetapkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang.
“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok,” jelasnya.
Menurutnya, mana-mana majikan yang tidak membenarkan pekerja keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun. -K! ONLINE