SEOUL – Gergasi tenusu Korea Selatan, Seoul Milk meminta maaf berhubung iklan kontroversi syarikat berkenaan yang tular di media sosial kerana didakwa menghina wanita, lapor laman berita Wion News semalam.
Akhbar The Korea Herald melaporkan bahawa iklan tersebut dimuat naik di saluran YouTube Seoul Milk pada 29 November lalu dan dialih keluar pada 8 Disember lepas.
Pengkritik-pengkritik menggariskan dua masalah pada iklan tersebut, termasuk menggambarkan wanita seperti lembu tenusu dan promosi jenayah ‘molka’ iaitu melakukan rakaman tanpa persetujuan orang yang dirakam.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua yang tidak selesa oleh video iklan susu yang dimuat naik ke saluran YouTube rasmi Seoul Milk pada 29 November lalu.
“Kami memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan dalaman. Kami juga akan lebih berhati-hati supaya insiden serupa tidak berlaku di masa hadapan,” kata syarikat induk Seoul Milk, Seoul Daily Cooperative dalam satu kenyataan seperti yang dipetik akhbar The Korea Herald.
Iklan itu memaparkan seorang lelaki di sebuah kawasan di pedalaman Korea Selatan yang menghendap sekumpulan wanita berpakaian putih sedang minum air.
Suara latar kemudian berkata: ‘’Kami memutuskan untuk mendekati mereka dengan hati-hati. Mereka minum air bersih dari alam semula jadi, makan makanan organik dan hidup aman dalam persekitaran yang menyenangkan.’’
Iklan itu seterusnya menunjukkan apabila kumpulan wanita itu didekati, mereka bertukar menjadi lembu selepas lelaki itu secara tidak sengaja terpijak ranting. – Agensi