KUALA LANGAT – Kelicikan dua sahabat menyamar sebagai pegawai Imigresen dan menyamun warga asing sejak setahun lalu berakhir apabila diberkas di sekitar Klang dekat sini, kelmarin.
Kedua-dua suspek lelaki berusia awal 30-an diberkas antara pukul 1.45 tengah hari dan 4.15 petang di Jalan Sungai Klang dan Jalan Kapar selain turut merampas telefon bimbit, kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang digunakan untuk memasukkan duit mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, penangkapan suspek dilakukan hasil laporan polis daripada seorang pekerja buruh binaan warga India berusia 30an yang ditahan dua lelaki menaiki Perodua Myvi di Taman Muhibbah Banting di sini pada 8 Disember lalu.
Katanya, salah seorang suspek telah memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen daripada Shah Alam dan minta mangsa yang juga bekerja sebagai pembantu kedai makanan supaya menunjukkan pasport kepada mereka.
“Apabila mangsa gagal menunjukkan passport, mangsa telah dipaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke kawasan Klang.
“Semasa dalam perjalanan, suspek telah memukul mangsa menggunakan kasut sebelum meminta wang sebanyak RM3,000 daripada majikan mangsa sekiranya mahu pekerjanya dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, bimbang akan keselamatan pekerjanya, majikan mangsa kemudiannya telah memasukkan sebanyak RM1,500 ke dalam akaun suspek sebelum mangsa dilepaskan di hadapan sebuah pasar raya di Klang.
Ahmad Ridhwan menjelaskan, modus operandi suspek adalah menyasarkan warga asing yang keluar berseorangan dan dibawa ke kawasan Klang sebelum memeras ugut majikan mangsa.
“Menerusi penangkapan tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun dan menyamar penjawat awam terhadap warga asing di daerah ini.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” tegasnya. -k!ONLINE