fbpx

inisiatif OTATA terap panduan hidup insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Amar menerusi syarikatnya mensasarkan 10,000 orang dapat menjadikan al-Quran sebagai bekalan dan teman hidup menjelang tahun hadapan.

PETALING JAYA – Seperti slogan dilaungkan, Hidup bersama al-Quran, pengasas program OTATA (Online Tadarus Tadabbur) di bawah syarikat Tanzeelworks, Ustaz Amar Samsuri juga mahu lebih ramai pandai mengaji dan memahami pengertian setiap bacaan dalam kalam suci itu.

Malah menjelang tahun 2022, syarikat itu mensasarkan 10,000 orang dapat menjadikan al-Quran sebagai bekalan dan teman hidup.

Ditubuhkan sejak 2019, syarikat yang berpengkalan di Kota Tinggi, Johor itu tidak pernah patah semangat untuk mengajak lebih ramai mendekati dan hidup bersama al-Quran.

“Inisiatif OTATA yang dicetuskan tahun lalu ketika dunia diserang wabak pandemik Covid-19 setakat ini berjaya membantu hampir 1,000 peserta yang memerlukan bimbingan ilmu al-Quran dari segi bacaan, tajwid dan kefahamannya.

“Misi OTATA sendiri sebenarnya adalah membantu orang ramai menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin utama dalam kehidupan seharian, di samping dapat menambah baik kualiti bacaan tajwid yang betul.

“Paling magis dengan izinNya, OTATA turut membantu orang ramai menemui penyelesaian masalah dan konflik kehidupan melalui kalam suci itu. InsyaAllah kami mahu ramai lagi turut serta. Sasaran 10,000 orang tahun depan itu juga bukan satu yang mustahil,” katanya.

Kata Ustaz Amar Samsuri yang juga merupakan guru quran bertauliah yang berbekal lebih lapan tahun pengalaman mengajar ilmu al-Quran, OTATA sebenarnya bertunjangkan tiga asas utama.

“Pertama, ialah mahu membimbing mereka secara istiqamah untuk mengaji setiap hari. Kebiasaannya waktu mengaji ini dibuat secara virtual menggunakan aplikasi Zoom selama sejam dari pukul 7 hingga 8 pagi. Sasaran kita beri dalam tempoh lapan bulan untuk khatam al-Quran.

“Cara mengaji dilaksanakan adalah secara bertadarus ayat demi ayat berjemaah seperti kaedah saya belajar dengan guru quran dulu. Tugas saya dan rakan sekerja, Ustazah Raihana adalah membimbing mereka di mana harus berhenti (waqaf) dan sambung bacaan (ibtida’) selain menekankan hukum hakam tajwid dalam bacaan Quran.

“Keduanya, dalam sesi sejam itu turut akan diselit topik tumpuan tajwid dalam bacaan yang ditekankan setiap hari. Ketiga ialah dapat membimbing agar lebih memahami ayat pilihan untuk panduan kehidupan seharian,” katanya.

Secara purata, OTATA menarik minat sekitar 80 peratus golongan wanita dan selebihnya lelaki di antara lingkungan umur 24 hingga 40 tahun ke atas.

Ketika ini sesi OTATA itu sudah memasuki musim keempat dan dijangka berakhir Mac depan.

“Memang pada awalnya apabila sesi kita bermula awal pagi, ada peserta berdepan pelbagai cabaran dan kekangan lain termasuk waktu bekerja. Namun, usah risau kerana peserta juga turut diberi akses menonton semula rakaman mengaji dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita sangat memahami bahawa bukan mudah nak istiqamah dalam hal ini. Malah ada yang sudah pandai mengaji tapi masih tak berjaya menjadikannya sebagai rutin harian,” katanya.

Tambah Ustaz Amar Samsuri lagi, secara total sejak ditubuhkan, menerusi pelbagai acara dianjurkan sama ada secara atas talian atau fizikal, mereka sudah membantu lebih 16,897 peserta.

Jumlah itu merangkumi di seluruh Malaysia dari dalam dan luar negara untuk membaca dan memahami al-Quran.  Maklumat lanjut dan untuk turut serta layari pautan pautan bit.ly/AsasNgaji5. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI