PUTRAJAYA – Setiap modul baharu kenderaan motor haruslah mematuhi dan melalui prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum ia layak untuk dipasarkan di Malaysia seterusnya didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, dasar berkaitan prosedur VTA yang dikuatkuasakan oleh mereka itu adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66(1)(pp), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana model baharu kenderaan motor hendaklah mempunyai satu persijilan yang dikeluarkan di bawah prosedur VTA sebelum layak untuk didaftarkan dan digunakan di atas jalan raya di negara ini.
“Tujuan pelaksanaan prosedur VTA adalah untuk memastikan ciri–ciri pembinaan, penggunaan dan spesifikasi kenderaan motor yang terlibat telah mematuhi ketetapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedahnya, termasuklah mempunyai persijilan yang sah yang melibatkan pematuhan standard mandatori yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, JPJ melalui Bahagian Kejuruteraan Automotif merupakan pihak berkuasa terhadap kelulusan jenis yang bertanggungjawab menjalankan penilaian, pemeriksaan dan pengesahan terhadap spesifikasi teknikal pada mana-mana model baharu kenderaan motor.
“Malaysia merupakan salah satu daripada 63 buah negara Penjanji kepada suatu perjanjian multi-lateral iaitu Perjanjian 1958 di bawah rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29).
“Dalam perjanjian tersebut, suatu peraturan teknikal kenderaan dikenali sebagai Peraturan United Nations (UN) telah dibangunkan oleh kumpulan pakar antarabangsa untuk diharmonisasikan dalam kalangan Negara Pejanji,” ujarnya.
Tambahnya, pengharmonian menerusi kerangka prosedur VTA masing-masing itu turut mengiktiraf persijilan Peraturan UN tersebut yang dikeluarkan di kalangan negara pejanji lain secara konsep ‘mutual recognition of type approval’.
“Susulan itu, JPJ telah meletakkan pematuhan kepada Peraturan UN sebagai satu tanda aras utama di bawah prosedur VTA untuk mengawalselia standard keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar yang berkaitan dengan sesebuah kenderaan motor agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Pengawalseliaan yang berterusan terhadap spesifikasi teknikal kenderaan ini boleh mengurangkan keraguan dan kegusaran di kalangan pengguna berkaitan tahap keselamatan sesebuah kenderaan motor,” katanya. – K! ONLINE