fbpx

Kilang selenggara jentera disyaki penyebab henti tugas LRA Sungai Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas LUAS memasang oil boom dan Serbuk Karbon Teraktif bagi mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke Sungai Semenyih.

SHAH ALAM – Sebuah kilang menyelenggara jentera berat dipercayai menjadi punca pencemaran berbau seakan diesel yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terlebih dahulu telah menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd berkenaan pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pukul 8.45 pagi.

Katanya, siasatan LUAS berhampiran sebuah premis kilang menyelenggara jentera berat mendapati terdapat pelepasan efluen yang mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak yang disyaki mengalir masuk culvert sebelum memasuki Sungai Semenyih.

“LUAS kemudianya telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan LUAS dengan meletakkan empat beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) dan Oil Boom bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jarak lokasi pencemaran tersebut dengan hulu muka sauk LRA adalah kira-kira 1.5 kilometer.

Kata Loy Sian, tindakan kawalan segera di tapak pencemaran dalam tempoh kurang empat jam membolehkan LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pukul 12.30 tengah hari tadi.

Tambah beliau, pemantauan statik turut dilakukan LUAS bermula pukul 2 petang tadi di aliran pertemuan di Sungai Semenyih.

“Pensampelan ujian bau dijalankan setiap sejam dan menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar (0) ton. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan oleh pihak LUAS bersama agensi berkaitan,” katanya.

Loy Sian menegaskan, Majlis Perbandaran Sepang akan menyita premis kilang menyelenggara jentera berat tersebut.

Dalam pada itu, pihak LUAS telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam berhubung kejadian tersebut.

Jelas Loy Sian, insiden itu adalah berlainan yang berlaku di semalam yang mana melibatkan pencemaran air berbuih di Kampung Rinching Tengah, Semenyih dan berjaya ditangani oleh LUAS sebelum ia menjejaskan operasi LRA.

Kosmo! terdahulu melaporkan Sebanyak 463 kawasan penduduk di lima wilayah di Selangor dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan itu ekoran pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih menyebabkan tindakan henti tugas loji Rawatan Air Sungai Semenyih. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI