GEORGE TOWN – Pasangan beradik kembar memilih perniagaan aiskrim gula apong di bawah jenama Mokti’s dengan membuka sebuah premis berkonsep kafe dalam taman berdekatan Sungai Dua berhampiran kampus Universiti Sains Malaysia.
Outlet tersebut merupakan cawangan ke-59 Mokti’s di seluruh negara yang menawarkan aiskrim gula apong yang bersesuaian dinikmati semua peringkat umur.
Pemilik cawangan baharu itu, Mohd. Hilmi Mahmud bersama adik kembarnya, Mohd. Zaidi berkata, sambutan yang diterima daripada pelanggan khususnya komuniti setempat agak memberangsangkan yang mana dalam tempoh 24 jam ia mula dibuka, lebih daripada 500 pelanggan berkunjung ke premis tersebut.
“Orang ramai suka makan aiskrim gula apong yang dijual pada harga antara RM3 hingga RM13 sebekas.
“Kami juga menawarkan tiga menu signatur aiskrim Mokti’s iaitu Apong Honeycomb, Apong Baby Bob dan Apong Asli,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu, Mohd. Hilmi menjelaskan, lebih daripada 40,000 ais krim Mokti’s bakal dijual dalam tempoh tiga bulan akan datang.