SEBELUM ini, mereka pernah menjalin kerjasama menerusi sebuah lagu, namun ketika itu tuah tidak menyebelahi kerana kurang mendapat sambutan.
Kegagalan lampau bagaimanapun tidak menjadi penghalang kepada pensohor media sosial, Chazynash untuk kembali meletakkan kepercayaan bergabung dengan penyanyi dan penulis, Dani Kurama.
Masih belum menyerah kalah, kedua-duanya kini tampil mempertaruhkan sebuah single baharu berjudul Jika Aku Pergi terbitan Rocketfuel Indie Space Station.
Menurut Chazynash atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Syed Badlishah, identiti dirinya selaku selebriti media sosial sudah lama diketahui khalayak.
Cuma dalam nyanyian profesional, minat yang lama lama terpendam baru kini diluahkan menerusi kolaborasi bersama Dani.
“Sebelum ini saya pernah menghasilkan beberapa buah lagu, namun kebanyakannya berbentuk parodi. Sehinggalah saya bertemu Dani. Sekarang saya yakin, inilah masa sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih serius,” katanya.
Sementara itu, bagi Dani yang sudah lama berjinak-jinak dengan dunia muzik sejak di bangku sekolah lagi berkata, jiwa seni yang mengalir dalam dirinya tidak pernah terhenti.
Kerap menghasilkan lagu secara suka-suka dalam YouTube dan sering berdepan kritikan netizen yang mempertikaikan bakatnya.
“Muzik sememangnya sudah sebati dalam diri saya. Saya tak peduli dengan apa yang orang kata. Apa yang penting, niat saya ikhlas dalam menghasilkan muzik. Setiap karya yang saya cipta dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi,” jelasnya.
Tambah anak muda itu lagi, single Jika Aku Pergi berkisar tentang kisah cinta tipikal apabila seorang lelaki ditinggalkan kekasihnya kerana orang ketiga.
Pengalaman
Pengalaman bekerjasama sebelum ini memberi bonus buat Chazynash dan Dani untuk mencipta keserasian menerusi Jika Aku Pergi.
Ujar Chazy, proses rakaman berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan dia sendiri secara peribadi, sangat senang bekerja dengan Dani.
“Dani sangat berbakat, ada idea kreatif dan dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh. Semoga lagu ini dapat melonjakkan nama kami di persada industri muzik tempatan,” katanya.
Selain bertindak sebagai penyanyi, Chazy juga menyumbangkan idea kreatif dengan mengarahkan video muzik Jika Aku Pergi berdasarkan pengalamannya dalam menghasilkan banyak video sebelum ini.
“Jalan cerita video muzik lagu ini klise apabila memaparkan sepasang kekasih bercinta, kemudian tiba-tiba berpisah angkara orang ketiga.
“Kami berharap agar orang ramai dapat menerima muzik yang kami bawakan dan terus memberi sokongan terhadap single ini supaya menjadi hit serta viral menerusi laman sosial,” ujar Chazy.
Lagu Jika Aku Pergi boleh dimuat turun menerusi iTunes Store bermula 27 November lalu dan boleh dinikmati dalam semua platform penstriman lain seperti Apple Music, Spotify, JOOX, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Sementara video muzik rasminya pula sudah tersedia dalam YouTube Rocketfuel Network.