fbpx

Rompak RM700,000, dua lagi pegawai SPRM ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000 yang berlaku pada 10 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, tangkapan dan siasatan lanjut dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan kedua-dua suspek telah ditahan reman.

“Kedua-dua pegawai SPRM itu masing-masing berumur 37 tahun dan 39 tahun telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 19 Disember depan.

“Siasatan ke atas kedua-dua suspek dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua termasuk seorang pegawai SPRM direman selama tiga dan empat hari atas kesalahan merompak seorang ahli perniagaan di sebuah kediaman Jalan Ampang.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa sebelum memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an.

Dua daripada suspek termasuk seorang pegawai penguat kuasa masing-masing berusia 30-an kemudiannya berjaya ditahan manakala, seorang lagi suspek masih bebas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI