TANGKAK – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mendapatkan khidmat bantuan daripada beberapa IPD berhampiran bagi usaha mengesan warga Rohingya yang meloloskan diri dari sel Mahkamah Majistret, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, bantuan terbabit melibatkan pihak polis dari IPD Muar, Segamat dan Jasin, Melaka.
“Operasi memburu suspek yang lebih dikenali sebagai Long Tiger masih berjalan sejak semalam (kelmarin). Polis melaksanakan Ops Tutup di semua laluan keluar dan masuk daerah Tangkak.
“Selain itu, khidmat anjing pengesan K9 juga digunakan selain mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini, polis masih belum mendapat sebarang petunjuk berhubung lokasi sebenar warga Myanmar berkenaan ketika ini.
Kosmo! semalam melaporkan suspek, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, diburu polis selepas melarikan diri ketika ditempatkan dalam lokap Mahkamah Majistret Tangkak.
Mohd. Fadhil berkata, suspek berjaya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat IPD Tangkak di talian 06-9781222 sambungan 7465 atau menghubungi balai berhampiran.-K! ONLINE