SEREMBAN – Pelakon ‘mat saleh’ Johan Abdullah, 73, yang kerap memegang watak individu berbangsa Inggeris dalam filem dan drama tempatan kini menderita menghidap penyakit angin ahmar dan parkinson.
Johan yang fasih berbahasa Melayu dengan pelat Inggeris menderita penyakit tersebut sejak April tahun lalu menyebabkan pergerakannya terbatas selain tangan menggeletar dan tidak lagi boleh menulis seperti biasa.
Isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 48, yang merupakan seorang suri rumah pula menderita penyakit tiroid dan slipped disc, menyebabkan dirinya tidak boleh berdiri lama serta mudah penat.
Menurut Johan yang berasal dari Christchurch, New Zealand, beliau dan isteri tinggal menyewa di sebuah rumah dengan kos RM500 sebulan di Taman Mantau Indah bersama dua orang anaknya Abdullah Musa Johan, 10, dan Orchid Raihani Johan, 5, hasil perkahwinan mereka pada 2010.
“Buat masa ini saya tiada pendapatan lain kerana keadaan masalah kesihatan, namun jika diberi tawaran berlakon yang sesuai mungkin saya akan terima untuk perbelanjaan keluarga.
“Jika ditanya sama ada saya rindu dengan bidang lakonan, sudah tentu kerana ia sudah biasa dan menjadi ‘darah daging’ sejak bermula pada pertengahan tahun 1970-an,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mantau Indah di sini hari ini.
Menurut Johan yang popular dengan filem Fenomena pada era 90an, hasil ujian mesin imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dijalankan pada Jun lalu mendapati ada darah beku di otak dan kadang kala memorinya tidak seperti dulu.
MAINS menerusi kenyataan memberitahu, pihaknya akan membantu Johan menerusi bantuan kewangan secara bulanan, perubatan dan bantuan wang tunai segera yang juga telah telah diserahkan semalam.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan menerusi akaun bank CIMB 7014641193 atas nama Sarepah Meriam Aboo atau menghubunginya di talian 013-3126721. – K! ONLINE