SEREMBAN – Seorang pesara guru tidak menyangka tiga naskhah al-Quran yang digunakan setiap hari tidak terbakar walaupun bilik solat di rumahnya hangus dalam kejadian kebakaran kelmarin.
Fuziah Idris, 65, berkata, kejadian berlaku petang kelmarin di rumahnya yang terletak di Taman Tuanku Jaafar Fasa 1, Senawang di sini.
“Ketika kejadian, saya sedang berada di dapur untuk memasak kerana anak-anak dan cucu ada di rumah. Kemudian cucu memaklumkan terdapat api di dalam bilik solat, saya tidak tunggu lama dan sempat keluar menyelamatkan diri bersama seorang anak dan lima orang cucu.
“Selepas pihak bomba memadamkan kebakaran, anggota bomba tersebut memaklumkan bahawa terdapat tiga naskhah al-Quran yang terselamat. Terdapat satu naskhah al-Quran tidak terbakar langsung manakala dua naskhah lagi terbakar di bahagian kulit sahaja dan kesemuanya masih boleh digunakan lagi,” katanya.
Menurut Fuziah, terdapat beberapa peralatan rumah seperti mesin jahit, tilam, katil dan penyaman udara musnah dijilat api di dalam bilik solat berkenaan.
“Bagaimanapun, selain al-Quran, telekung dan kertas doa yang ditampal juga tidak terbakar dalam kejadian berkenaan. Saya ketika ini tinggal di rumah anak yang berada berdekatan sehinggalah dimaklumkan oleh bomba yang rumah itu selamat untuk didiami.
“Sejak saya bersara, saya menggunakan ruang bilik solat itu untuk mengaji al-Quran dan menjahit jika ada waktu lapang,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi kenyataan memberitahu, telah turun padang dengan memberikan bantuan wang tunai segera selain bantuan susulan yang akan disalurkan kemudian. – K! ONLINE