KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini melancarkan naskhah buku mengimbau kejadian rusuhan 13 Mei 1969 di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Buku yang bertajuk ‘May 13, 1969. Racial Riots A Security Perspective’ itu diterbitkan bagi mengimbau kenangan rusuhan menerusi perspektif anggota keselamatan tentera yang bertindak menghuraikan insiden tersebut.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, penerbitan buku itu penting sebagai satu panduan dan pengajaran untuk bergerak ke hadapan sebagai masyarakat berbilang kaum.
“Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara, jika rusuhan gagal dipatahkan ia mampu meruntuhkan institusi negara secara keseluruhan namun mujur Tentera Darat berjaya mengawal keadaan.
“Peristiwa yang dipaparkan hasil penulisan Mejar Jeneral (B) Datuk Nordin Yusof perlu diambil iktibar dan dijadikan sebagai pengajaran generasi masa kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku, di sini hari ini.
Turut hadir bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Haniff Omar dan Mejar Jeneral (B) Datuk Nordin Yusof.
Tambah Zamrose, sebanyak 2000 naskhah dan 1200 buku telah berjaya dijual kepada agensi kerajaan, perpustakaan negara dan institusi pengajian awam
Buku berbahasa Inggeris 324 halaman itu memaparkan kisah sebenar kejadian berkenaan dan penglibatan anggota Tentera Darat dalam operasi selama 21 hari yang diterbitkan Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Malaysia (KPRAMD).
Sementara itu, kejadian 13 Mei 1969 berlaku setelah kemenangan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU3) dan perarakan bertukar menjadi provokasi perkauman hingga berlaku rusuhan yang teruk. – K! ONLINE