SEORANG lagi penyanyi hip-hop mula mencuri perhatian industri. Saban hari, penyanyi yang menggunakan nama pentas Asyraf Nasir semakin mencipta nama dan terus mengejar ruang muzik industri tempatan.
Mula mencipta populariti selepas menyertai pertandingan mencari bakat hip-hop anjuran stesen radio Era, Asyraf semakin rancak mewarnai industri muzik tanah air dengan membawakan karya-karya hebat yang dijangka akan mengukuhkan lagi namanya dalam industri.
Kehadirannya jelas dan serius untuk berkarya apabila kolaborasinya bersama rakan hip-hop, Yonnyboii dan Zynakal menerusi lagu Tak Sangka begitu meledak dan melekat di hati penggemar muzik hip-hop.
Terkini, Asyraf muncul dengan buah tangan baharu berjudul 2PAI yang mempunyai maksud tersirat dan begitu mendalam untuk difahami.
Inspirasi
2PAI yang diinspirasikan daripada peribahasa ‘setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’ itu dicipta dan ditulis sendiri olehnya.
“Sebenarnya lagu ini mengisahkan tentang sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila mereka memperolehi segalanya.
“Namun, lagu ini saya tidak tujukan pada sesiapa, tetapi saya percaya pasti wujud individu-individu di luar sana yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kehendak diri sendiri tanpa mempedulikan isu moral dan kebaikan,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut, Asyraf berkata 2PAI mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan secara keseluruhan kerana dia mahu memberi gambaran sebenar berdasarkan pemerhatian sendiri.
“Lagu ini sebenarnya cuma mengambil masa lebih kurang selama dua hari sahaja untuk ditulis, tapi persiapan jalan ceritanya yang memakan masa.
“Dari segi komposisi lagu, saya bekerjasama dengan Wolfy secara maya. Lagu ini disiapkan pada tahun 2020, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi kami terpaksa membuat panggilan video untuk bincangkan susunan lagu,” tambahnya.
Lebih membuatkan Asyraf bersemangat apabila dia mendapati 2PAI merupakan karya paling memuaskan yang pernah dihasilkan.
Jelasnya, 2PAI amat berbeza dengan karya terdahulu kerana mempunyai banyak perincian sehingga membuatkan Asyraf yakin lagu tersebut merupakan antara karya terbaik yang pernah dia hasilkan setakat ini.
“Lagu ini mengingatkan kita bahawa rezeki boleh diberi dan juga ditarik balik. Itu juga satu peringatan bahawa manusia mudah leka dan harus sedar yang setinggi mana pun pencapaian, janganlah lupa titik permulaan kita.
“Bagi saya, tiada siapa yang dapat perolehi kejayaan sepenuhnya tanpa bantuan orang lain,” katanya.
Justeru, Asyraf tidak sekadar memfokuskan lagu itu sebagai hiburan kepada pendengar semata-mata. Dia mengidamkan kemahiran penulisannya membuka mata serta menyentuh hati ramai.
“Saya mahu pendengar lihat saya sebagai penulis lirik yang baik. Selain penyanyi rap yang baharu berjinak-jinak tulis lagu untuk artis lain, saya harap dalam 10 tahun akan datang, saya jadi penulis lirik terbaik,” katanya.
Penampilan istimewa
Kata penyanyi itu lagi, 2PAI juga memberi peluang untuk pendengar mengenal ‘bunyi’ Asyraf Nasir original. Malah, kesemua rakaman vokal dilakukannya sendiri di rumah disebabkan (PKP).
“Saya sebenarnya memang berniat nak rakam dalam studio, tetapi setelah membuat rakaman buat kali ketiga dan keempat di rumah sendiri, saya rasa hasilnya tak sama seperti kali pertama saya rakam di rumah,” jelasnya.
Tambah menarik, rakan seperjuangannya, YonnyBoii turut diundang untuk memainkan salah satu watak dalam video muzik 2PAI.
“Biarpun video muzik dirakam dalam masa satu hari, persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru terlibat di set.
“Semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada yang biasa sebab konsepnya seperti filem aksi,” ujarnya.