MELAKA – Tindakan seorang pekerja hotel sanggup menjadikan bilik stor tempat untuk melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tingkatan tiga berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Malek Saifullizan Md. Husin, 35, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah hotel didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah hotel di Taman Melaka Raya di dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat.
Mengikut fakta kes, mangsa mendaftar masuk di hotel tersebut bersama keluarganya pada 9 Disember dan tertuduh yang masih bujang telah mengajak remaja berkenaan mengambil bantal di sebuah bilik stor.
Tertuduh bagaimanapun tiba-tiba menyuruh mangsa berbaring di atas sebuah katil sebelum melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.
Seorang rakan sekerjanya kemudian telah masuk ke bilik tersebut dan ternampak mangsa berada di atas katil. Sebelum mangsa beredar, tertuduh turut memberi amaran supaya merahsiakan kejadian itu.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga ibu dan kakaknya yang sakit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira faktor jenayah dilakukan adalah serius dan meninggalkan kesan trauma kepada mangsa.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dua tahun tempoh pengawasan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara. – K! ONLINE