JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah dengan menahan empat individu termasuk dua wanita warganegara Vietnam dan merampas dadah pelagai jenis bernilai RM353,250 dalam satu serbuan di sekitar bandar raya ini, 7 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis menahan kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 31 tahun.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan dadah.
“Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam dan bersama mereka ialah sejumlah rampasan dadah.
“Penahanan itu membawa kepada rampasan serbuk ekstasi seberat 4.41 kilogram (kg), 1.25kg ketamin, 573 biji pil ekstasi, 410 biji pil eramin 5, 3.15 liter cecair ekstasi, 28 gram mushrooms dan 11 gram ganja dengan nilai keseluruhan RM353,250,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas kereta jenis Honda City dan Perodua Alza serta wang tunai RM2,800 dan pelbagai barang kemas bernilai RM4,950.
Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di rumah di kawasan berpagar dan berpengawal itu sudah menjalankan kegiatan tersebut sejak Julai lalu.
Katanya, hasil saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala hasil semakan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kesemua dadah yang dirampas dalam operasi tersebut boleh digunakan oleh seramai 37,694 orang penagih. Kesemua suspek direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.-K! ONLINE