KOTA TINGGI – 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam insiden bot karam di Tanjung Balau, di sini semalam bebas dari wabak Covid-19.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa yang memaklumkan kesemua mereka adalah negatif.
Beliau berkata, keputusan itu hasil saringan yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Sungai Rengit terhadap mereka terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.
“Keputusan ujian saringan Covid-19 yang dibuat terhadap 14 mangsa yang selamat adalah negatif Covid-19.
“Difahamkan semua PATI yang sebelum ini ditahan di Pos Tanjung Sepang telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Hal Ehwal Informasi dan Sosio Budaya Konsulat Indonesia di Johor Bahru, Andita Putri Purnama dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membuka nombor hotline sekiranya ada anggota keluarga di Indonesia yang mahu mendapatkan maklumat mengenai mangsa.
Tambahnya Konsulat Jeneral Rapublik Indonesia (KJRI) akan memantau perkembangan pencarian korban dan untuk identifikasi jenazah di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Untuk informasi mengenai mangsa bot karam, boleh menghubungi hotline KJRI Johor Bahru pada nomor: +6016-7700378 atau +6017-7716866,” katanya.-K! ONLINE