KUALA LUMPUR – Kerajaan berpendirian tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam dari 16 kepada 18 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pendirian itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada kajian berhubung perkara itu.
“Kerajaan telah meneliti dan mengkaji cadangan supaya menaikkan umur minimum perkahwinan perempuan beragama Islam dari 16 kepada 18 tahun.
“Kajian ini termasuk membentangkan cadangan tersebut dalam pelbagai forum memandangkan ia dibawah bidang kuasa negeri-negeri.
“Setelah mengambil kira maklum balas, kerajaan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah pada 22 September lalu berpendirian tiada keperluan meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) tentang usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain untuk membanteras perkahwinan bawah umur. – K! ONLINE