ALOR SETAR – Seorang penolong pengurus ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Afif Ramlan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar dengan menggunakan aplikasi WhatsApp membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Komunikasi bersifat lucah itu kemudiannya dibaca di sebuah rumah di Taman Uda, Jalan Sultanah di sini kira-kira pukul 11.59 malam, 19 Jun 2019.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi an Multimedia 1988 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama. – K! ONLINE