Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Seorang penjenayah kes pecah sebuah rumah Sabtu lalu ditahan polis selepas dia terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Durian dekat Kuala Krai petang semalam.
Suspek yang berusia 29 itu ditahan selepas melarikan diri selama dua hari ketika dia gagal mengawal kereta Proton Iswara yang dipandunya sebelum merempuh kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sewaktu tangkapan, suspek yang dipercayai sedang lalok itu ditahan selepas pihak polis menerima maklumat awam mengenai kemalangan itu.
Katanya, pemeriksaan dan siasatan di lokasi mendapati sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu suspek mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Pemeriksaan di bahagian but belakang kereta membawa kepada penemuan sebuah televisyen jenama Panasonic dan sebuah beg bertulis Lenovo yang berisi komputer riba dipercayai barang curi dengan anggaran hampir RM10,000.
“Suspek yang cedera ringan bersama barang kes itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah lain selain baru keluar dari penjara Januari lepas.
Berhubung kes pecah rumah, menurut Suzaimi, kejadian itu berlaku Sabtu lalu pukul 6 petang apabila pengadu sampai di rumah keluarganya sebelum mendapati kereta jenis Perodua Viva diletakkan di halaman rumah telah tiada.
”Pengadu telah membuat pemeriksaan di sekitar rumah dan mendapati pintu jeriji besi belakang rumah terdapat kesan umpil selain pintu belakang terbuka.
“Pemeriksaan selanjutnya di dalam rumah mendapati televisyen dan komputer riba miliknya telah tiada,” katanya.
Suzaimi berkata, sebelum terlibat kemalangan sewaktu memandu kereta jenis Proton Iswara, suspek turut memandu kereta Perodua Viva yang dicuri di rumah itu sebelum terlibat dalam nahas.
Katanya, suspek memandu Perodu Viva itu sebelum terbabas sendiri di kawasan Kampung Sri Panji dekat Kuala Krai.
Tambah Suzaimi, susulan kemalangan itu, polis telah membuat hebahan kepada orang ramai untuk mengesan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya dengan pengaruh dadah dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah mangsa. – K! ONLINE