PASUKAN SpeedX Racing menerusi dua pemandunya, Eddie Lew dan William Ho berjaya meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 dan 2 saingan kategori SP2 Pusingan Ketiga perlumbaan Siri Kejuaraan Malaysia 2021 (MCS) hari ini.
Selain kejayaan tersebut, SpeedX juga turut berjaya meraih petak hadapan bagi aksi terakhir Pusingan Keempat melibatkan saingan endurance sejauh 300 kilometer yang akan berlangsung esok.
“Ia adalah perlumbaan yang cukup hebat hari ini dan kami terpaksa berdepan pelumba-pelumba yang bersaing dengan cukup agresif pada saingan hari ini (semalam).
“Bagaimanapun, kami berjaya mengharungi perlumbaan dengan baik dan faktor utama kejayaan ini adalah kerana kerjasama yang baik melibatkan jurutera, mekanik dan kru sekali gus membolehkan kami menguasainya,” kata Lew.
Dalam pada itu, Ho mengakui kejayaan meraih petak hadapan pada perlumbaan terakhir esok membolehkan mereka lebih tenang serta bersedia untuk memberikan aksi terbaik.
“Kejayaan meraih petak hadapan dalam perlumbaan esok membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik pada acara terakhir itu dan akan menggunakan segala kemahiran dan pengalaman untuk memburu kemenangan.
“Keputusan yang diperoleh pada perlumbaan hari ini membolehkan kami berada di kedudukan kedua secara keseluruhan pada saingan kategori SP2 MCS 2021 dan sudah pasti ia membuatkan kami lebih tenang dan yakin untuk aksi seterusnya,” kata Ho.
Pada Perlumbaan 1 kategori berkenaan, gandingan Imran Wafi Adnan dan Nijiy Ayyad yang mewakili DNT Tune berjaya meraih tempat kedua, manakala pasangan pelumba R Engineering HMRT, Putera Adam dan Calvin Wong di kedudukan ketiga.
Saingan Perlumbaan 2 menyaksikan Putera Adam dan Calvin berjaya memperbaiki kedudukan di tempat kedua sementara tempat ketiga pula dimenangi Pee Sau Fan dan Ian Wong.
Pemilik pasukan SpeedX, Leong Chun Kok pula mengakui bahawa kejayaan yang diraih pasukannya sangat bermakna terutama ia adalah penampilan sulung mereka pada saingan ini.
“Menjadi pasukan yang beraksi buat kali pertama dalam perlumbaan ini, keputusan yang kami peroleh adalah suatu yang membanggakan. Kemampuan yang dipamer oleh pasukan ini membuatkan kami yakin mampu mencapai kejayaan lebih hebat pada musim hadapan.
“Kami juga sudah merancang untuk terlibat dalam perlumbaan pada peringkat yang lebih tinggi tahun hadapan dan kami sedang merancang untuk melakukan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan jenama bagi menerokai pasaran baharu melibatkan sukan permotoran seperti ini,” jelasnya.
Menurut Leong, SpeedX ketika ini sedang menjalinkan kerjasama bersama Angle 2 Audience Sdn. Bhd. yang menguruskan aspek pemasaran bagi memaksimumkan publisiti untuk sukan permotoran di negara ini secara keseluruhan.
Para peminat boleh melayari laman sosial Instagram di https://www.instagram.com/speedx.racingteam/ untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai pasukan SpeedX, jadual perlumbaan dan peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.