PETALING JAYA – Caj transaksi RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan disambung semula bermula 1 Februari tahun depan.
CIMB Malaysia antara bank yang mengenakan semula caj itu dan perkara tersebut diumumkan menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.
“Berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM atau mesin layan diri bukan CIMB Bank atau CIMB Islamic bank.
“Pelanggan (CIMB) masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri kami,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Malayan Banking Bhd. (Maybank) dalam kenyataan di akaun Facebook juga membuat pengumuman yang sama.
“Harap maklum bahawa mulai dari 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.
“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank,” ujar kenyataan tersebut.
Pada 6 April tahun lalu, Kerajaan Malaysia telah memutuskan pengecualian caj pengeluaran RM1 antara bank (interbank) di semua ATM.
Pengecualian tersebut yang melibatkan semua institusi perbankan sebagai salah satu usaha kerajaan dalam mengelak kesesakan di kaunter-kaunter bank susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu. – K! ONLINE.