KUALA LUMPUR – Respons orang ramai terhadap program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan tidak seperti yang diharapkan walaupun tempoh moratorium secara automatik cuma berbaki 29 hari.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, beliau bimbang jika orang ramai menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank.
“Orang ramai dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) harus ingat bank memerlukan masa memproses permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan yang dikemukakan.
“Secara umumnya satu hingga lima hari untuk pelanggan individu dan tiga hari hingga dua minggu untuk permohonan PKS.
“Saya menggesa orang ramai segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Shahar berkata, program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan penting untuk mengelakkan rekod kredit mereka yang memerlukan menjadi buruk selepas September 2020.
Menurut beliau, sejak program itu bermula pada 7 Ogos lalu, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu diterima pihak bank dan 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.
Kata beliau, bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan pihak bank.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan.
Turut diumumkan pengurangan ansuran pembiayaan yang sepadan dengan pengurangan gaji akibat Covid-19 bagi tempoh minimum enam bulan bergantung kepada jenis pembiayaan.
Kerajaan turut mengumumkan pembayaran faedah sahaja untuk suatu jangka masa ditetapkan atau pemanjangan tempoh pembiayaan untuk mengurangkan bayaran balik bulanan bagi individu dan PKS yang terkesan akibat Covid-19. – K! ONLINE