KANGAR – Sebanyak enam pelantar ikan termasuk satu milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew memberitahu, saksi kejadian memaklumkan kebakaran dipercayai bermula dari sebuah pelantar ikan milik seorang lelaki dikenali dengan nama Jan.
“Api seterusnya merebak ke pelantar ikan lain terletak bersebelahan. Turut musnah dalam kebakaran itu adalah dua bot nelayan persendirian dan tiga motosikal selain pukat serta tong ikan.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini yang mana punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE