PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju untuk melanjutkan tempoh tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun) sehingga 31 Disember ini.
JPJ berkata, lanjutan tempoh pengurangan saman itu dibuat susulan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai, bersempena dengan Acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berakhir 12 Disember lalu.
Menurutnya, tawaran itu bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap dan perbicaraan.
“Bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir sendiri ke kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum menikmati diskaun saman yabg diberikan.
“Kemudahan pembayaran saman ini adalah melibatkan semua Kaunter di Pejabat JPJ seluruh negara termasuk kios, Mobile JPJ, dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
“Urusan transaksi tersebut boleh dilakukan bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang (termasuk hujung minggu), manakala bagi UTC, waktu pengoperasian adalah tertakluk kepada arahan MOF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, transaksi pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian (online) melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/). – K! ONLINE