PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan waspada melibatkan tujuh negeri sehingga Jumaat ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, hujan berterusan itu dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu sehingga esok.
Manakala keadaan semasa juga diramal akan berlaku di Jerantut, Kuantan dan Pekan, Pahang.
“Keadaan hujan berterusan juga dijangka melanda seluruh negeri Perlis, Kedah serta Pulau Pinang sehingga Jumaat ini.
“Sementara itu, cuaca sama juga boleh berlaku di beberapa daerah di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 21 orang daripada sembilan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu selepas rumah mereka di mukim Bagan Samak, Kedah dilanda banjir kilat pada petang Isnin. – K! ONLINE