PETALING JAYA – Tanpa angin tanpa ribut, tiba-tiba sahaja penyampai radio popular Suria FM, Fizi Ali mengesahkan mahligai perkahwinannya yang baru berusia tiga tahun bersama pelakon Shakila Khoriri sudah berkecai.
Fizi atau nama sebenarnya, Hafizudin Alimudin, 32, berkata, hubungannya dengan Shakila sudah berakhir dan kini membawa haluan masing-masing.
“Assalammualaikum semua. Maaf kepada mereka yang tertanya-tanya apa yang terjadi pada saya dalam beberapa minggu ini.
“Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla tidak lagi bersama serta akan membawa haluan masing-masing,” tulis Fizi menerusi satu hantaran Instagramnya sebentar tadi.
Meskipun berpisah, kata Fizi dia dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka Nurul Ameena Sofia, 2, bersama-sama dan memastikan anak kesayangan mereka mendapat kasih sayang secukupnya daripada mereka berdua.
“Walaupun hidup berasingan, kami juga sudah bersepakat akan membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang. Kami janji Ameena tetap akan merasa kasih sayang daripada daddy dan umi,” kata Fizi lagi.
Dalam pada itu, Fizi berharap semua pihak menghormati keputusan mereka dan menganggap jodohnya bersama Shakilla sudah berakhir.
“Kami berharap semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai di sini. Terima kasih atas doa-doa kalian sebelum ini.
“Mohon doa untuk kami bertiga meneruskan perjalanan yang panjang ini dengan penuh reda. Insya-Allah semoga ada doa yang baik-baik ini akan kembali kepada kalian juga. Minta maaf dan terima kasih,” tulis Fizi.
Berita tersebut benar-benar mengejutkan peminat kerana rumah tangga mereka selama ini terlihat ceria dan bahagia.
Sementara di ruangan komen Instagram Fizi, rakan-rakan artis dilihat memberi kata-kata semangat buat mereka berdua.
Fizi dan Shakilla , 32, mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nurul Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun. – K! ONLINE